150 peserta CSR terkandas akibat jambatan runtuh, hujan
Muhafandi Muhamad
Oktober 6, 2022 09:40 MYT
Oktober 6, 2022 09:40 MYT
GUA MUSANG: Seramai 150 orang peserta yang menyertai program tanggungjawab sosial (CSR) bersama masyarakat Orang Asli terkandas selama sehari di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan disebabkan jalan rosak dan jambatan runtuh akibat hujan,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, peserta termasuk kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), badan bukan kerajaan (NGO) dan doktor terkandas ketika dalam perjalanan ke Pos Gob melakukan khidmat sosial untuk masyarakat Orang Asli.
Menurut Ab Aziz, kumpulan itu terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara menunggu keesokan hari untuk balik semula ke Gua Musang.
"Kita bermula di Pusat DUN Nenggiri pada malam semalam dengan 41 buah kereta bermula jam 9 pagi. Semalam kita terkandas berhampiran Kampung Kajang, ada 15 kenderaan yang selebihnya terkandas di Kampung Gawin.
"Semalam kita bermalam di Kampung Kajang dan selebihnya di Kampung Gawin. kita berlepas pulang hari ini untuk kembali ke destinasi masing-masing kerana misi kita untuk sampai ke Pos Gob," katanya.
Sementara itu, peserta yang terlibat dalam Program ‘Bergagoh Ma Senoi Bek’ atau melawat kawasan perkampungan Orang Asli bersyukur apabila mereka berjaya kembali ke bandar Gua Musang selepas lebih 24 jam.
"Pengalaman terkandas ketika menuju ke Pos Gob boleh dikatakan sangat ekstrem dan lasak dan boleh dikatakan kami semua hampir tersekat dan ia sangat menakutkan.
"Tapi satu dalam sejuta dengan bantuan Rescue menyelamatkan kami, pengalaman yang amat mengujakan. Saya rasa amat kecewa tetapi nak buat macam mana, sudah ditakdirkan untuk terkandas di tepi itu," jelas Mohd Zaidatul Azizi Mohd Zaidatul Azman.
Walaupun terdapat beberapa kenderaan yang rosak dan terbalik, namun semua peserta tidak mengalami masalah kesihatan atau kecederaan.