150 pengunjung Bukit Bendera terkandas, perkhidmatan funikular rosak
Astro Awani
Disember 21, 2019 23:15 MYT
Disember 21, 2019 23:15 MYT
Seramai 150 pengunjung pusat peranginan Bukit Bendera terkandas selama lebih empat jam di stesen tengah selepas perkhidmatan funikular itu mengalami kerosakan ada petang Sabtu.
Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan memaklumkan pengurusan PHC sedang berusaha membawa turun semua penumpang secara berperingkat menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Pihak PHC juga memohon maaf kepada semua pengunjung berikutan masalah itu berlaku di luar jangkaan.
PHC katanya, sedang berusaha mengatasi masalah tersebut.
Difahamkan keadaan menjadi agak tegang apabila ada dalam kalangan pengunjung yang berasak-asak untuk turun ke bawah.
Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.26 malam.
Sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera turut digegaskan ke lokasi kejadian bagi membantu menurunkan mangsa yang terkandas.
Difahamkan sehingga jam 10.30 malam ini, usaha menurunkan pengunjung masih lagi berjalan.
#Bukit Bendera
#funikular rosak
#pelancong
#pengunjung
#penumpang terkandas
#Perbadanan Bukit Bendera