150,000 peluang pekerjaan menjelang 2035, masa untuk anak Kedah balik kerja di Kedah - MB

Abd Hadi Che Awang
Jun 17, 2022 20:47 MYT
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, ia susulan perkembangan kemasukan pelaburan ke Kedah selain jangkaan peningkatannya dari semasa ke semasa. - Foto BERNAMA
JITRA: Kira-kira 150,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di Kedah menjelang tahun 2035, sekali gus membuka ruang untuk anak-anak negeri Jelapang Padi itu menabur bakti dan berkhidmat di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, ia susulan perkembangan kemasukan pelaburan ke Kedah selain jangkaan peningkatannya dari semasa ke semasa.
Katanya, situasi itu juga turut bakal memperlihatkan tenaga kerja mahir dari kalangan anak-anak Kedah terutama dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pengurusan teknologi yang kini merantau di negeri-negeri lain, mendapat peluang untuk berkhidmat di kampung halaman mereka.
"(Selepas ini, anak-anak Kedah) tak payah duduk pi jauh-jauh, duduk di Kedah, bekerja di Kedah, (dengan) keluarga (pun) rapat, boleh tengok mak ayah, mak ayah kita pun makin lama makin tua.
"Kalau duduk jauh, (apabila) mak sakit tak boleh balik, jadi adik-beradik marah (sebab) tak balik, saya tau saya adik-beradik ramai, mak ayah saya sedang sakit, saya tahu situasi itu. Kalau semua bekerja di Kedah alangkah baik (jika ia dapat direaliasasikan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Ekspo Pendidikan Tinggi dan Kerjaya Kedah 2022 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk Kedah mempunyai sebuah universiti teknikal bagi melahirkan lebih ramai individu atau graduan yang berkemahiran dalam bidang berkenaan selaras dengan keperluannya ketika ini.
Jelasnya, antara sebab utama keperluan berkenaan adalah kerana buat masa ini tiada universiti atau institusi pengajian tinggi di negeri ini yang memfokuskan kepada bidang teknikal.
Selain itu, dua universiti awam sedia ada iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dan Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan universiti pengurusan.
Beliau menegaskan, sekiranya universiti teknikal tidak dapat ditubuhkan di negeri ini, sekurang-kurangnya universiti teknikal sedia ada yang beroperasi di negeri-negeri lain dapat membuka cawangan mereka di Kedah.
"Di Kedah universiti yang kita ada (ketika) ini, UUM, UiTM, (dan) semua universiti (swasta lain) (adalah) management university, kita tak ada lagi universiti yang melahirkan engineer (jurutera).
"Ini kerana, kehendak industri (ketika ini), contohnya (syarikat seperti) AT&S, dia tak (buka peluang) kerja kepada operator, dia dah panggil engineer, kemahiran yang dia perlukan dah paras technician (juruteknik).
"Jadi kita kena latih di sebuah pusat pengajian tinggi teknikal. Alangkah baiknya kalau ada universiti teknikal di Kedah," tambahnya.
#Kedah #anak Kedah #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #universiti teknikal
;