150,000 pelawat dijangka berkunjung ke Jambatan Angkat tahun ini

Bernama
Mac 10, 2025 12:00 MYT
Kerajaan Terengganu menyasarkan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat tahun ini, didorong oleh pelbagai program yang dirancang serta pemerkasaan kerjasama dengan penggiat pelancongan. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyasarkan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat tahun ini, didorong oleh pelbagai program yang dirancang serta pemerkasaan kerjasama dengan penggiat pelancongan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan penganjuran pelbagai program sepanjang tahun ini dan usaha memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri pelancongan.
Beliau yang juga Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) berkata, sejak mula beroperasi pada 2019, Jambatan Angkat yang dibina dengan kos RM249 juta telah menerima 595,579 pelawat dari dalam dan luar negara.
"Keunikan Jambatan Angkat menjadikannya penerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, termasuk Best New Tourism Icon 2019 dan Malaysia Tourism Quality Assurance (Gold Award) 2023.
"Jambatan ini juga didaftarkan di bawah Green Energy Tariff dan menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation. Dengan pencapaian ini, Jambatan Angkat bakal menjadi jambatan pertama di dunia yang beroperasi menggunakan 98 peratus tenaga solar pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd, di sini.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal berkata, kos pengoperasian dan penyelenggaraan Jambatan Angkat bagi tempoh 2019 hingga Disember 2024 telah mencecah RM11.75 juta.
Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran pengoperasian dan pengurusan jambatan ikonik itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Operasi Drawbridge menetapkan had muatan berat lima tan ke bawah dengan kelajuan maksimum 30 kilometer sejam.
"Kita akan memasang 20 papan tanda di sekitar kawasan, selain memasang palang ketinggian dan penyediaan garisan kuning sebagai kawalan had laju kenderaan," katanya.
-- BERNAMA
#jambatan angkat #kerajaan terengganu #pengunjung Jambatan Angkat #Green Energy Tariff
;