15 taska di Pulau Pinang dibenar beroperasi bermula Jun

Astro Awani
Mei 22, 2020 16:39 MYT
SOP perlu dipatuhi oleh pengusaha taska, kakitangan dan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke pusat jagaan itu dalam tempoh PKPB. Gambar hiasan
Kerajaan Pulau Pinang membenarkan 15 taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja awam di seluruh negeri itu untuk beroperasi semula bermula 1 Jun ini.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, bagaimanapun pengusaha taska hanya boleh menerima 50 peratus sahaja kanak-kanak daripada kapasiti asal yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.
Katanya, pengusaha taska juga dikehendaki mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Berikutan negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pengusaha taska perlu memberi perhatian yang lebih kepada semua syarat ditetapkan sebelum dibenarkan beroperasi.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah mengemukakan SOP dan garis panduan yang perlu dipatuhi kepada taska untuk rujukan serta pelaksanaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Katanya, semua SOP dan garis panduan tersebut menjelaskan tentang perkara yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas taska beroperasi.
Katanya, ia perlu dipatuhi oleh pengusaha taska, kakitangan dan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke pusat jagaan itu dalam tempoh PKPB.
Beliau berkata, pemantauan pematuhan SOP pencegahan penularan COVID-19 di taska semasa PKPB akan dilaksanakan oleh wakil MKN, KKM dan JKM.
"Sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan SOP, pengusaha taska boleh dikenakan tindakan termasuk di bawah Akta Taska 1984," katanya.
#50 peratus #boleh beroperasi #garis panduan #Kapasiti #pulau pinang #semula #SOP #taska
;