15 tahun hidu bau busuk, penduduk 'terpenjara' di rumah sendiri

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 22, 2022 14:46 MYT
Penduduk di kawasan terjejas berang dengan kelewatan pihak berwajib bertindak walaupun selepas diajukan aduan berkali-kali. - Astro AWANI
MELAKA: Kira-kira 7,000 penduduk di sekitar Sungai Udang, di sini membantah cadangan memperluas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang merupakan satu-satunya tapak pelupusan sampah di negeri ini.
Tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 26 hektar yang mula dibina sejak 15 tahun lalu itu menggugat kehidupan seharian mereka apabila terpaksa berdepan pencemaran bau yang kritikal.
Bukan sahaja menghidu bau busuk, penduduk di sekitar radius 5 kilometer dari tapak pelupusan berkenaan seolah-olah ‘terpenjara’ di kediaman sendiri.
Menceritakan keperitan itu, Azmi Yahood, 54, yang menetap di Taman Seri Bertam sejak tahun 2004 lalu berkata, sejak awal pembukaan tapak pelupusan tersebut pelbagai janji telah ditabur oleh pihak berkaitan termasuk untuk menyediakan teknologi insinerator bagi mengawal kepadatan sisa pepejal dan pencemaran bau.
“Sejak tahun 2004, apa yang dijanjikan seperti insinerator memang tidak ada, kerana apabila setiap kali pergi ke tempat itu saya dapat lihat longgokan sampah berlapis-lapis dan mungkin sebab itu mereka nak besarkan lagi kawasan itu.
“Mana janji kerajaan, mana janji syarikat? Sebelum ini banyak lawatan ke luar negara (tetapi) apabila balik ke Melaka tetap kosong tidak ada apa-apa tindakan. Kerajaan kenalah ambil tindakan demi keselematan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut ujar Azmi yang juga seorang pesara tentera, senario itu juga turut menyebabkan penduduk tidak boleh meluangkan masa terlalu lama di luar rumah selain kanak-kanak turut tidak dapat bermain di taman permainan sejak sekian lama rentetan pencemaran bau itu.
Kekesalan sama turut disuarakan penduduk Taman Desa Bertam, Mohd Redza Izman Abu Zaharin,35, yang turut menagih janji pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara berkenaan segera.
“Tolong lah uruskan perkara ini segera dan sebaiknya demi keselamatan dan keharmonian penduduk. Kami nak duduk secara harmoni seperti masyarakat lain.
“Kami sudah tidak tahan sangat dengan bau busuk ini sampaikan kami tidak boleh jemur baju dekat luar rumah, baju kami busuk dan kami terpaksa hantar baju untuk keringkan di dobi. Siapa nak bayar kos itu?” soalnya.
Sementara itu, Penyelaras Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad turut mendesak cadangan pengambilan tanah seluas 24.2 hektar bagi memperluas kawasan berkenaan perlu dihentikan segera.
Katanya, pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri perlu mengadakan rundingan meja bulat bersama pihak swasta yang menguruskan tapak pelupusan berkenaan untuk memilih lokasi baharu yang lebih strategik dan jauh dari kawasan kediaman penduduk.
“Kes ini bukan sekali bahkan sudah beratus kali saya menyuarakannya yang mana sejak adanya tempat pelupusan sampah ini bukan sahaja pencemaran bau, malahan sungai berhampiran juga sering kali tercemar. Perkara itu turut diakui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kami rasa cukuplah, kalau kali ini masih nak teruskan untuk pengambilan tanah bagi meluaskan tapak pelupusan ini, kami seluruh penduduk di Sungai Udang ini akan buat bantahan secara besar-besaran kerana rakyat kawasan ini mahu menikmati cuaca dan udara seperti orang lain,” tegasnya.
Sebelum ini, kepadatan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang boleh dianggap ‘kritikal’ memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi pembuangan sisa buangan dari tiga daerah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Zaidi Attan sebelum ini turut dilaporkan berkata, keluasan pelupusan itu akan ditingkatkan dengan tambahan sebanyak 24.2 hektar untuk menampung keperluan 50 tahun akan datang.
#tapak pelupusan sampah #aduan penduduk #bau busuk #alam sekitar
;