15 premis makanan kotor di JB diarah tutup

Bernama
Januari 10, 2023 17:02 MYT
Antara kesalahan utama yang direkodkan ialah terdapat serangga perosak seperti lipas, lalat dan tikus, selain pekerja premis makanan tidak mempunyai suntikan tifoid dan tidak memakai pakaian bersesuaian. - BERNAMA
JOHOR BAHRU: Sebanyak 15 premis makanan di sekitar bandar raya ini diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi dalam keadaan kotor.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata arahan penutupan sementara mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu, dikeluarkan menerusi Operasi Bersepadu Premis Makanan (Ops Bersih) bermula 2 petang hingga 10 malam tadi, yang dilakukan ke atas 113 premis makanan.
"Sebanyak 130 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM67,250, telah dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Selain itu, sebanyak 19 premis makanan pula diberikan Amaran Pembersihan mengikut Seksyen 10 Akta Makanan 1983," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi berkenaan yang dijalankan di sekitar Stulang Laut, di sini.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang direkodkan ialah terdapat serangga perosak seperti lipas, lalat dan tikus, selain pekerja premis makanan tidak mempunyai suntikan tifoid dan tidak memakai pakaian bersesuaian.
"Kita lakukan pemeriksaan berkala dan kita mahu memastikan setiap premis diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun, dan yang mana kita dapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan termasuk tutup.
"Kalau berdasarkan pemeriksaan dibuat, banyak yang didapati kotor, jadi saya rasa JKNJ belum berpuas hati dengan tahap kebersihan, khususnya melibatkan premis yang telah diperiksa," katanya.
Sementara itu, tinjauan pemberita mendapati kebanyakan premis makanan yang diperiksa kotor, dengan bahan makanan mentah tidak bertutup dan dihurung lalat, lantai tidak bermop dan tidak bersapu selain pengurusan makanan sejuk beku tidak menepati piawaian.
-- BERNAMA
#Jabatan Kesihatan Negeri Johor #premis makanan #ditutup #beroperasi dalam keadaan kotor
;