15 peratus pengundi, orang muda belum buat keputusan - Kajian Ilham Centre

Irfan Faruqi
Ogos 1, 2023 14:11 MYT
'Perang'bendera antara parti politik yang bertanding dalam pilihan raya meriah. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: 15 peratus daripada pengundi-pengundi Barisan Nasional (BN) dan orang muda masih belum membuat keputusan mengenai gabungan parti politik yang akan diundi.
Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata kempen Perikatan Nasional (PN) yang dikaitkan dengan sentimen Melayu dan Islam dilihat memberi pengaruh kepada kumpulan ini dalam membuat keputusan tersebut.
“Di Terengganu, antara dapatan data yang tinggi menunjukkan mereka sedia untuk kalih (beralih) berbanding ada negeri-negeri yang masih berada dalam keadaan tunggu dan lihat. Tetapi di Terengganu ini, masih ramai yang tidak buat keputusan.
“Kumpulan yang betul-betul belum buat keputusan ini ada sekitar 15 peratus. Sebahagiannya datang daripada pengundi UMNO dan pengundi muda. Mereka masih menunggu penjelasan dan naratif baharu,” katanya
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual dalam program Agenda AWANI.
Jelasnya, meskipun kumpulan ini belum membuat keputusan, namun kempen yang dikaitkan dengan sentimen Islam dan Melayu dilihat telah mempengaruhi corak pemikiran pengundi dalam membuat keputusan.
“Kemudian apabila ada kempen-kempen yang berkait dengan sentimen Melayu dan Islam, sebahagian mereka boleh menerima logik itu dan mula menyatakan hasrat untuk beralih kepada Perikatan Nasional (PN). Isu-isu ini ada berlegar dalam kalangan akar umbi sekarang,” katanya lagi.
Yusri turut menambah, punca kepada sikap pengundi tegar UMNO yang masih belum buat keputusan mengenai undi yang akan berikan adalah akibat penggabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan yang dilihat bertentangan dengan naratif yang dibawa oleh BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri termasuk Terengganu dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu adalah pada 12 Ogos 2023.
#Agenda Awani #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #Kerajaan Perpaduan #Perikatan Nasional #pilihan raya negeri