15 peniaga positif COVID-19, Pasar Besar MBMB ditutup 3 hari
Sinar Harian
Jun 14, 2021 11:44 MYT
Jun 14, 2021 11:44 MYT
MELAKA: Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang di sini ditutup selama tiga hari bermula Isnin selepas 15 peniaga di situ didapati positif COVID-19.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, peniaga yang positif adalah peniaga di bahagian sayur-sayuran dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan kontak rapat mereka.
"KKM mengeluarkan arahan pasar ini ditutup tiga hari selepas berlaku penularan COVID-19 dalam kalangan peniaga pasar itu.
"Penutupan pasar itu membolehkan kita menjalankan kerja-kerja sanitasi di bangunan pasar terbabit," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
MBMB dalam satu kenyataan menerusi media sosial, Facebook memaklumkan pasar berkenaan ditutup bermula Isnin hingga Rabu ini dan bakal beroperasi semula pada Khamis setelah kerja-kerja disinfeksi dilakukan.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan mengenai perkara itu dan berkata, seramai 100 individu kontak rapat kes positif COVID-19 membabitkan di pasar tersebut telah dikenal pasti.
Artikel asal di Sinar Harian: 15 peniaga positif Covid-19, Pasar Besar MBMB ditutup 3 hari
#pasar besar
#Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
#MBMB
#Bachang
#ditutup tiga hari
#Zainal Abu
#peniaga pasar
#Rahmad Mariman
#kes positif