15 November dengar permohonan peguam rayu saman kesahan pengampunan diraja Anwar

Bernama
Ogos 10, 2022 18:31 MYT
Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mazuliana Abdul Rashid. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 November untuk mendengar permohonan seorang peguam bagi mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya dalam usaha mengembalikan semula samannya yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwat.
Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mazuliana Abdul Rashid.
Peguam Anwar, J. Leela apabila dihubungi mengesahkan tarikh itu.
Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 21 September tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Datuk Lee Heng Cheong memutuskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.
Pada 21 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu.
Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Februari 2020, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai responden, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Dakwanya, pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.
-- BERNAMA
#Pengampunan Diraja #Anwar Ibrahim #Mahkamah Persekutuan #rayuan kembalikan saman
;