15 negara RCEP sudah setuju, hanya India yang enggan

Najib Aroff
November 4, 2019 21:09 MYT
RCEP melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan India. - Reuters
Hanya 15 buah negara yang terlibat dalam Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sudah memuktamadkan proses perundangan untuk membolehkan perjanjian ditandatangani pada 2020.
Menurut kenyataan bersama pemimpin, India berdepan isu tertangguh yang gagal diselesaikan.
“Kesemua negara anggota RCEP akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan India melalui cara yang dipersetujui semua.
“Keputusan akhir India akan bergantung kepada penyelesaian isu-isu ini,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun perincian isu yang dibangkitkan India tidak dinyatakan namun ia dipercayai berkait dengan kegusaran India bahawa lambakan produk murah China akan meningkat jika RCEP dilaksanakan.
“RCEP akan meningkatkan prospek pertumbuhan masa depan rantau ini dan menyumbang secara positif kepada ekonomi global,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan pemimpin pada persidangan itu berkata RCEP mampu mewujudkan keseimbangan untuk dagangan positif dan kebajikan penduduk rantau ini.
“RCEP sepatutnya menjadi perjanjian dagang yang adil, inklusif dan seimbang.
“ASEAN bersama rakan dagang lain boleh menunjukkan komuniti dunia bahawa 16 buah negara dari latar pembangunan berbeza mampu membantu sesame kita untuk mewujudkan kemakmuran bersama,” kata kenyataan Dr Mahathir yang dibacakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darel Leiking.
Sementara itu Darel berkata Malaysia komited memastikan dasar Visi Kemakmuran Bersama 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu dijamin di bawah RCEP.
“Kerajaan akan berusaha memastikan kepentingan domestik termasuk Visi Kemakmuran Bersama 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu dijamin di bawah RCEP.
“Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara RCEP untuk memuktamadkan rundingan dan menandatangani perjanjian pada 2020.
“RCEP yang diketuai ASEAN akan menyediakan peluang ekonomi bagi industri Malaysia, perusahaan kecil dan sederhana serta peluang pekerjaan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan sikap perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan.
RCEP melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan India.
#ASEAN #Darel Leiking #India #perdagangan #Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau #pertumbuhan serantau #proses prundangan #RCEP
;