15 individu ditahan terbabit kes culik ahli perniagaan warga Iran
Bernama
November 30, 2015 19:58 MYT
November 30, 2015 19:58 MYT
Seramai 15 individu termasuk tujuh anggota polis ditahan dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan warga Iran pada 23 November lepas.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, ahli perniagaan industri minyak dan gas itu telah diculik di Jalan Ampang Hilir di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata mangsa kemudiannya dibebaskan pada 25 November lepas.
"Tiada wang tebusan diminta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu, cawangan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah menahan 15 individu berusia antara 26 hingga 55 tahun.
"Seorang daripada suspek merupakan wanita dan mereka ini ditahan pada 25 dan 26 November. Motif kejadian dipercayai bersabit perbalahan mengenai hutang," katanya.
Law berkata kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan kini ditahan direman selama sembilan hari bermula tarikh tangkapan.