15 ditahan terlibat sindiket curi diesel, makanan sejuk beku
Afiezy Azaman
Oktober 21, 2023 10:00 MYT
Oktober 21, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 15 individu ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel dan sindiket penyeludupan ayam sejuk beku sepanjang Op Tiris dan Op Taring yang dijalankan bermula 10 hingga 20 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali, pihaknya telah melancarkan empat serbuan Op Tiris dan lapan serbuan Op Taring yang bergiat aktif di seluruh negara.
Katanya, melalui Op Tiris yang melibatkan penyelewengan diesel, seramai 12 individu termasuk seorang warga Myanmar ditahan berumur lingkungan 20 hingga 48 tahun.
"Keseluruhan rampasan bernilai RM1,468,321 dan kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Manakala Op Taring membabitkan penahanan tiga individu warga Indonesia termasuk dua wanita lingkungan umur 26 hingga 36 tahun.
"Turut dirampas sebanyak 54,515 kota mengadungi pelbagai jenis makanan sejuk beku, 144 paket gula pasir (1kg) dengan nilai mencecah RM14,121,465,36. Kes berkenaan disiasat di bawah Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, kesemua operasi berjaya mengekang dan memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi serta sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku yang bergiat aktif di seluruh Malaysia.