15 disahkan maut dalam insiden bot karam di Sabak Bernam
Hafiz Marzukhi, Dania Zainuddin
September 3, 2015 20:56 MYT
September 3, 2015 20:56 MYT
Sekurang-kurangnya 15 mayat telah ditemui pasukan pencari dan penyelamat dalam kejadian bot karam di perairan Sabak Bernam pagi ini dengan jumlah kematian dijangka terus meningkat.
Ketika ini operasi menyelamat mangsa yang dipercayai masih selamat sedang giat dijalankan.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu sidang media petang tadi mengesahkan kejadian dan jumlah mayat selain berkata sehingga kini sekurang-kurangnya 15 penumpang bot terbabit telah diselamatkan.
Laksamana Pertama Maritim Daerah Klang, Mohd Aliyas Ham yang bercakap di Ibu Pejabat APMM Daerah Klang berkata, dari 14 mayat yang ditemui sebelum ini, 13 adalah wanita dan seorang lelaki.
Sementara itu, seramai 19 mangsa yang selamat telah dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk disoal siasat.
Setakat jam 8.00 malam Khamis, polis masih lagi tidak membenarkan media untuk mendapatkan reaksi daripada mangsa bagi menceritakan pengalaman mereka dalam insiden yang tidak diingini itu.
Namun pada petang Khamis, Astro AWANI sempat menemu bual Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramli yang berada di lokasi bagi memberikan perkembangan bagaimana keadaan bot yang membawa mayat dan mangsa itu ketika tiba di jeti Hutan Melintang.
Jelas Zulinda, keadaan mayat-mayat yang ditemui itu masih berada dalam keadaan sempurna.
"Bot pertama yang datang ada lima orang. Seorang keadaannya amat kritikal, mungkin kerana lemas dan akibat minum air masin yang banyak. Manakala yang lagi empat itu masih lagi okay.
"Bagi bot kedua, saya lihat tadi ada seorang mangsa perempuan yang selamat dan nampak masih lagi sihat keadaannya manakala yang lagi 13 mangsa lelaki pun dilihat masih boleh berjalan. Cuma ada dua atau tiga orang yang dilihat mengalami kekejangan kakinya.
"Berdasarkan apa yang ditanya kepada mangsa-mangsa yang selamat memang ada yang menyebut masih lagi ada dua kanak-kanak yang belum dijumpai dan hilang."
Perkembangan operasi mencari mangsa bot karam di Sabak Bernam setakat jam 8.00 malam Khamis.
Kejadian katanya bermungkinan berpunca daripada bot terlebih muatan atau cuaca.
Mayat yang ditemui dan mangsa yang terselamat yang ditemui oleh nelayan, kemudiannya dihantar ke Jeti Sungai Sumun.
"Pihak kami masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian ini," kata Laksamana Pertama Maritim Daerah Klang, Mohd Aliyas Ham sambil memaklumkan setakat ini empat aset milik APMM merangkumi dua kapal dan dua bot berada di lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
Sidang media Operasi Mencari dan Menyelamat Daerah Maritim Klang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kemalangan yang dilaporkan berlaku 5 pagi itu, disedari nelayan yang melalui kawasan berkenaan sekitar 10.37 pagi sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
Operasi pencarian dijalankan dalam radius 5 batu nautika dari lokasi bot karam.
Sementara itu Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang, Mohd Faaiz Abu Samah berkata setakat ini, kira-kira 200 anggota dari APMM dan pihak tentera laut terlibat dalam operasi pencarian dan menyelamat.
Wartawan Astro AWANI, Hafiz Marzukhi kini berada di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Bagan Nakhoda Omar untuk perkembangan terkini kejadian bot karam ini.