15 dikompaun merokok di premis makanan
Eton Khir
Februari 20, 2022 11:57 MYT
Februari 20, 2022 11:57 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 15 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM3,750 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu di sekitar Putrajaya, pada Sabtu.
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata sebanyak 25 premis makanan diperiksa sepanjang operasi tersebut iaitu di sekitar Bazaar 8, Ayer@8, Presint 8, Presint 9, dan Presint Diplomatik.
Operasi itu melibatkan seramai 38 anggota daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Pejabat Kesihatan Putrajaya serta Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Dalam operasi itu, seramai 15 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dengan nilai kompaun sebanyak RM3,750.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana didapati semua premis yang diperiksa mempamerkan tanda larangan merokok," katanya pada sidang media selepas operasi.
Pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan individu yang didapati merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan, boleh dikenakan kompaun RM250.
Menurut Dr Norhayati, anggota penguat kuasa juga memainkan peranan memberikan nasihat dan kesedaran dengan mengedarkan risalah berkaitan kesalahan merokok kepada 205 orang awam.
"KKM juga serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal dan akan dibentangkan tidak lama lagi.
"Ia merupakan akta baharu yang turut melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok," katanya.
Pada masa sama, Dr Norhayati turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.
Sebelum ini, KKM telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.