15 bekas pelajar MCKK bertanding dalam PRU15

Sinar Harian
November 17, 2022 07:25 MYT
MCOBA berkongsi gambar calon-calon PRU15 yang merupakan bekas pelajar MCKK. - Foto Twitter MCOBA/Sinar Harian
SHAH ALAM: Seramai 15 bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Persatuan Pelajar Tua Kolej Melayu (MCOBA) menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan, bekas pelajar tersebut terdiri daripada enam calon daripada Pakatan Harapan (PH), empat (BN), tiga Perikatan Nasional (PN) manakala seorang calon bagi Pas dan Pejuang.
Antara bekas pelajar MCCK yang bertanding bagi kerusi Parlimen adalah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Ahmad; Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan calon Pejuang Parlimen Parit Buntar, Rohijas Md Sharif.
Dalam pada itu, bagi calon yang bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula adalah calon PH DUN Belanja, Ahmad Hishamuddin Abdullah; calon PN DUN Behrang, Mohd Amran Ibrahim dan calon BN DUN Peramu Jaya, Datuk Mohammad Nizar Mohammad Najib.
“Selamat bertanding, murid-murid tua MCKK,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Khamis. - Sinar Harian
SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
#PRU15 #MCKK #Calon PRU15 #bekas pelajar MCKK
;