15,315 koperasi berdaftar di Malaysia, perolehan cecah RM45.5 bilion

Abd Razak Mohd Ali
Mei 10, 2023 09:54 MYT
Saarani dan Saraswathy (tengah) hadir pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di Ipoh, malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Terdapat sebanyak 15,315 koperasi yang berdaftar di Malaysia pada masa ini, dengan perolehan mencecah RM45.5 bilion, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami.
Menurutnya, berdasarkan data Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga 31 Dis 2022, jumlah keanggotaan koperasi melebihi 7.3 juta orang.
Pada masa sama, jumlah modal syer dan yuran yang terkumpul adalah sebanyak RM16.9 bilion sementara aset berjumlah RM159.6 bilion.
“Dalam usaha memperkasakan gerakan koperasi bagi mencapai natijah keberhasilan yang ditetapkan, pembangunan sektor koperasi akan terus diperhebat sebagai medium untuk meningkatkan pendapatan dan tahap sosioekonomi masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2023 di sini, malam tadi.
Menurut Saraswathy, kerajaan komited untuk terus mendayaupayakan gerakan koperasi agar mampu tampil berperanan dalam menangani isu berkaitan peningkatan kos sara hidup rakyat.
Katanya, ia juga dapat menambah baik kesejahteraan anggota koperasi melalui inisiatif galakan dana pembiayaan perniagaan serta pembangunan kapasiti koperasi.
Beliau membeitahu, salah satu bidang tujahan strategik yang digariskan adalah pembentukan persekitaran perniagaan yang mampan dan lestari.
Sehubungan itu, katanya, gerakan koperasi khasnya di negeri Perak, digalakkan untuk menceburi bidang aktiviti sekuriti makanan pada skala besar, agar ia selari dengan salah satu fokus utama Perak Sejahtera 2030.
Tambahnya, ia juga selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 yang merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara di sepanjang rantaian bekalan makanan.
“Pelaksanaan pelan tindakan ini penting bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa, khususnya dari aspek ketersediaan, akses dan kestabilan harga, terutama dalam menghadapi situasi luar jangka,” ujarnya.
Dalam hal ini, katanya, gerakan koperasi boleh berperanan secara signifikan untuk turut menyumbang kepada sektor agromakanan negara melalui penyertaan aktif Federasi Koperasi Pertanian dan Industri Asas Tani Perladangan sebagai salah satu pemain industri dalam sektor ini.
Menurutnya, kementerian sedang meneliti semula kaedah serta insentif yang lebih menarik minat koperasi berasaskan pertanian yang berjumlah 3,451, untuk bergabung menyertai Federasi Koperasi Pertanian agar produktiviti agromakanan yang tinggi dapat dihasilkan.
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia #sekuriti makanan #Saraswathy Kandasami #koperasi
;