149 warisan kebangsaan diumum minggu hadapan

Bernama
Oktober 9, 2018 05:54 MYT
Rumah Degil di Jalan Tun Abdul Razak sedang dibina semula dan dijangka siap pada penghujung November. - Foto BERNAMA
Karya Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee adalah antara 149 warisan negara yang akan dipulihara, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Beliau berkata pengumuman senarai warisan kebangsaan itu, yang termasuk bangunan warisan, akan dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi pada 17 Okt ini.
Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas usaha untuk memulihara bangunan lama di Kuala Lumpur selepas mengadakan sidang akhbar mengenai " Batik Fun Walk 2018" di sini, paa Selasa.
P. Ramlee meninggal dunia pada 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung telah meninggalkan jumlah karya yang besar dalam bidang perfileman dan lagu.
Menyentuh mengenai Rumah Degil, iaitu Rumah Pusaka Chow Kit yang sedang dibina semula di perkarangan Balai Seni Negara (BSN), Jalan Tun Abdul Razak, beliau berkata rumah itu akan siap pada penghujung November ini.
Muhammad Bakhtiar bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada rumah itu akan dibuka untuk orang ramai atau dijadikan rumah pameran.
Sementara itu Ketua Pengarah BSN Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan untuk memastikan pengisian di dalam rumah itu.
"Kami hendak jadikan Rumah Degil seperti 'living heritage' dan rumah itu mempunyai semangat rumah (tradisional Melayu)," katanya.
Beliau berkata malah kedudukan rumah itu sama seperti kedudukannya di Jalan Chow Kit yang terhimpit dengan bangunan-bangunan konkrit yang tinggi.
"Kami mungkin mengunakan ruang atas untuk pameran, dan di tingkat bawah sebagai ruang aktiviti," katanya.
-- BERNAMA
#Jalan Chow Kit #Mohamaddin Ketapi #Muhammad Bakhtiar Wan Chik #P Ramlee #Rumah Degil #tradisional Melayu #warisan negara
;