145 usahawan berkampung di Melaka sempena SDSI bermula 6 Okt ini
Bernama
Oktober 4, 2023 05:15 MYT
Oktober 4, 2023 05:15 MYT
MELAKA: Sebanyak 145 usahawan dari 14 negeri bakal memeriahkan Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata pameran yang menjadi platform usahawan mempromosikan produk masing-masing itu dijangka dikunjungi lebih 40,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.
"Justeru SDSI merupakan platform terbaik membantu usahawan tempatan khususnya usahsawan kecil dan sederhana untuk mempromosi produk keluaran mereka," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Beliau berkata selain itu, Jualan Anekarasa MADANI turut diadakan dengan setiap negeri membawa tiga menu makanan istimewa yang melambangkan negeri berkenaan dan popular dalam kalangan rakyat mereka.
Sebagai contoh katanya usahawan makanan dari Johor akan menjual mee bandung, dari Sarawak mi kolok manakala laksa nyonya serta asam pedas dari usahawan Melaka.
Allex Seah berkata program padanan perniagaan, seminar keusahawanan dan akses peluang pembiayaan turut disediakan untuk usahawan sepanjang tiga hari Pameran SDSI berkenaan berlangsung.
"Program menarik lain turut diadakan iaitu Jualan MADANI Koperasi, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barang keperluan harian dan dapur pada harga lebih murah bagi meringankan beban rakyat.
"Program 'Malam Cinta Rasul", Malam 'Gema Irama MADANI' dan cabutan bertuah juga turut diadakan bagi menarik kedatangan pengunjung ke pameran tersebut," katanya.
-- BERNAMA