IPOH: Sebanyak 144 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) telah dilaporkan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) ke 17 tahun ini.


Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ia 
peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun lalu iaitu hanya 17 kes. 


Menurutnya, sebagai perbandingan, kes HFMD di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun 2021.



"Sehingga kini, terdapat tujuh wabak HFMD telah diisytiharkan di mana enam wabak ( 86%) telah berlaku di daerah Hilir Perak dan satu (14%) berlaku di daerah Bagan Datuk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, kebanyakan lokasi penularan wabak berlaku di tadika/taska/pra-sekolah iaitu lima wabak (71%) diikuti pusat  jagaan  kanak-kanak sebanyak dua wabak  (29%).  


Bagaimanapun, katanya, tiada wabak dilaporkan di rumah persendirian.


“Masyarakat adalah dinasihati agar, ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk memastikan anak anak bebas dari gejala HFMD sebelum mereka di hantar ke taska/pusat asuhan/rumah pengasuh bagi mengelakkan perebakan,” ujarnya.


Selain itu, kata Mohd Akmal, anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. 


Beliau Juga menasihatkan ibu bapa agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain.


Penyakit HFMD disebabkan oleh keluarga Enterovirus dengan majoriti kes wabak di Hilir Perak dan Bagan Datuk berpunca dari Pan-enterovirus. 


Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. 


Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. 


Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.