140 rumah di Besut rosak dibadai ribut

Bernama
Julai 10, 2022 14:05 MYT
Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang. - Facebook Info Bencana Terengganu
BESUT: Aidiladha hari ini disambut hambar 140 keluarga apabila rumah mereka rosak akibat dibadai ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah ini malam tadi.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Azbi Salleh berkata, kira-kira 130 rumah rosak di 10 kampung di Kuala Besut, manakala selebihnya di Kampung Batu 13 dan Kampung Bekok di Hulu Besut.
Katanya, dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang.
"Antara kawasan yang terjejas teruk di sini (Kuala Besut) ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai, Kampung Tengah, Kampung Nail dan Kampung Payang.
"Kejadian ribut kuat berlaku serentak dengan hujan lebat, namun nasib baiklah tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Azbi berkata pihaknya difahamkan bahawa kerajaan negeri akan membantu membaiki bumbung rumah yang rosak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dapat tinggal di rumah mereka dengan lebih sempurna.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Atap Napisah Hussin, 67, berkata dia berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin sekelip mata.
"Ketika kejadian berlaku, saya hanya berdua bersama seorang anak lelaki saya berusia 34 tahun yang terlantar akibat penyakit strok.
"Pada mulanya hujan lebat kemudian diikuti ribut dan secara tiba-tiba bumbung rumah terbang. Saya amat takut terutama memikirkan keadaan anak lelaki saya yang tidak dapat bergerak," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu mengangkat anaknya ke rumah berhampiran yang lebih selamat.
-- BERNAMA
#ribut #Besut #terengganu #rumah rosak
;