140 penumpang feri terkandas hampir lima jam

Adie Sufian Zulkefli
Mei 16, 2023 08:30 MYT
Feri itu telah ditunda dan sampai di Terminal Feri kira-kira jam 12.20 pagi Selasa. - Foto APMM
KUALA PERLIS: Seramai 140 orang penumpang terpaksa menunggu hampir lima jam apabila feri yang mereka naiki dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, di sini, kira-kira 8 malam Isnin.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri penumpang berkenaan memulakan perjalanan pada petang dan kejadian berlaku kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis.
“Kejadian berlaku apabila Feri Langkawi 1 yang hampir 0.9 kilometer dengan Terminal Feri Kuala Perlis itu tersangkut pada tali yang hanyut di sekitar kawasan berkenaan menyebabkan perjalanan tergendala.
"Hasil siasatan kami mengenalpasti tali berkenaan adalah tali yang hanyut dari kawasan lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Baharin berkata, feri itu bagaimanapun telah ditunda dan sampai di Terminal Feri kira-kira jam 12.20 pagi Selasa.
#feri terkandas #Baharin Baharom #tersangkut #tali hanyut
;