140,000 huffaz cilik bakal lahir menerusi Tabika Pra-Tahfiz Kemas pada 2026 - Ahmad Zahid

Siti Nur Aqilla Omar
September 22, 2024 19:10 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Program Pra-Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di sebuah hotel di Kluang hari ini. - Gambar/ Bernama
KLUANG: Seramai 140,000 kanak-kanak huffaz cilik bakal dilahirkan menerusi Program Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra-Tahfiz Kemas, menjelang 2026.

Ringkasan AI
  • Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas menyasarkan untuk melahirkan 140,000 kanak-kanak huffaz cilik menjelang 2026.
  • Pada tahun ini, program ini telah diperluaskan kepada 4,145 kelas Tabika Kemas yang melibatkan 62,175 kanak-kanak, dengan pendekatan pembelajaran 'fun learning' untuk memudahkan hafalan ayat-ayat Al-Quran.
  • Program ini merupakan inisiatif strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memperkasakan pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia, dengan pelaksanaan rintis di 100 buah Tabika pada tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menyasarkan 60 peratus kanak-kanak Tabika Kemas menghafal 20 surah Juz Amma iaitu sehingga surah Ad-Duha.
Beliau berkata, pada tahun ini program terbabit diperluaskan kepada 4,145 kelas Tabika Kemas membabitkan 62,175 kanak kanak.
"Soal agama bukan milik parti politik atau individu, mengimarahkan agama bukan milik mana-mana organisasi tetapi ia adalah tanggungjawab pemimpin dan ummah. Soal agama bukan milik peribadi.
"Sebesar mana ulama dan ilmu tetapi kalau ilmu itu menyesatkan, ditunggangi apatah lagi agama menjadi pacuaan cita-cita politik insya-Allah tidak diizin (oleh Allah).
"Kita betulkan situasi itu. Laluan mesti benar bukan melencong, sebab itu kita tanamkan soal keagamaan ini di awal usia. Kemas bukan jabatan keagamaan tetapi mengambil inisiatif meletakkan kepentingan agama di awal usia supaya akidah tidak lari dari landasan.
"Soal ibadah bukan sahaja solat. Tetapi agama kelengkapan hidup. Mempelajari al-Quran walaupun niat ada, perlu ada kaedah pengajaran yang relevan dan sesuai dengan anak-anak yang kita santuni.
"Kemas telah saya sarankan mengunakan padagogi pembelajaran 'fun learning', pembelajaran mengingati ayat al-Quran yang anak-anak senang hafal," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Program Pra-Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor di Kluang hari ini.
Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas merupakan satu program untuk memperkasakan lagi Pendidikan al-Quran di Tabika Kemas.
Program ini memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Modul Penghayatan Islam (PPI) di Tabika Kemas merangkumi aspek Pendidikan al-Quran dalam melahirkan huffaz cilik yang menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzu amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.
Dalam pada itu, ia bertujuan memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia yang akan memberi fokus kepada 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.
Program inisiatif Ahmad Zahid ini turut menjadi antara hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.
Program ini telah dilaksanakan secara rintis di 100 buah Tabika pada tahun lepas melibatkan 1,500 kanak-kanak.
Bagi Johor, sebanyak 552 kelas Tabika Kemas melibatkan 7,756 kanak-kanak telah melaksanakan program ini daripada 1,161 jumlah keseluruhan kelas Tabika Kemas.
#Zahid Hamidi #Tabika Kemas #pra-tahfiz #huffaz cilik
;