14 terperangkap insiden kepala air di Sungai Chiling - Bomba
Bernama
Oktober 19, 2015 08:00 MYT
Oktober 19, 2015 08:00 MYT
Sekurang-kurangnya 12 lelaki dan dua wanita terperangkap dalam insiden kepala air ketika berada di kawasan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam Ahad.
Mereka dikatakan melakukan aktiviti mendaki bukit di lokasi itu ketika kejadian berlaku.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, 13 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 7 malam.
"Tujuh pengunjung adalah warga Pakistan dan diselamatkan pada 10.45 malam," katanya sambil menambah usaha mencari dan menyelamat mangsa lain masih diteruskan.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata anggota penyelamat terpaksa menunggu paras air di sungai berkenaan surut bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Namun, katanya, laluan alternatif sedang diusahakan untuk ke lokasi mangsa terperangkap.