14 ribu penduduk parlimen Bagan Datoh layak terima BR1M
Bernama
Februari 23, 2013 18:49 MYT
Februari 23, 2013 18:49 MYT
Kira-kira 14,000 penduduk tanpa mengira fahaman politik sekitar Parlimen Bagan Datoh layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bernilai RM5.75 juta.
Seramai 9,000 ketua isi rumah dan 5,000 orang bujang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan masing-masing menerima sumbangan RM500 dan RM250.
Menteri Pertahanan yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini seramai 14,000 penduduk yang layak menerima bantuan telah diluluskan permohonan dan mereka sudah mula menunaikan baucar yang diterima.
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mengagihkan bantuan dijanjikan tanpa mengira kaum dan fahaman politik kerana mahu menunjukkan pemimpinnya yang diberi kuasa memerintah sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat di negara ini.
Bagaimanapun beliau tidak mahu penyokong parti pembangkang menuduh pemberian bantuan itu ada kaitan dengan pilihan raya yang semakin hampir.
"Saya nafikan bantuan ini diberikan bertujuan meraih undi rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13, sebaliknya kami menunaikan tanggungjawab yang dijanji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik memegang jawatan itu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M 2.0 di Parit Empat, Sungai Sumun, Bagan Datoh, Perak.
Ahmad Zahid berkata pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang membuat pelbagai tohmahan dan fitnah tentang pemberian BR1M tetapi dalam masa sama anggota parti mereka juga menerimanya.
Beliau berkata perasaan cemburu mereka terhadap kerajaan BN berlaku kerana kerajaan pimpinan mereka tidak mampu melaksanakan janji kosong masing-masing.
Beliau berkata pemberian BR1M bukan bertujuan mahu merendahkan martabat atau memperbodoh rakyat sebaliknya kerajaan BN mahu membantu rakyat mengurangkan beban kehidupan mereka yang disuarakan selama ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta umat Islam yang mempunyai pelbagai fahaman politik di negara ini supaya bersatu fikiran dan hati mengenai perkara berkaitan agama.
Beliau berkata ada pemimpin pembangkang sanggup membelakangkan agama demi kepentingan politik peribadi.
"Saya berharap rakyat dapat menilai gelagat pemimpin parti pembangkang ini dan buat keputusan bijak menjelang pilihan raya umum ke-13 berdasarkan sistem demokrasi yang dipraktikkan di negara ini," katanya.