14 produk kraf tangan warisan bakal diketengahkan di London Craft Week

Bernama
Mac 28, 2023 17:40 MYT
Tunku Azizah bertitah selain mempamerkan hasil kraf, tujuh usahawan kraf juga akan 'diterbangkan' ke pameran bertema 'Malaysia's Heritage Crafts'. -Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 produk kraf warisan tempatan yang dihasilkan pelbagai etnik akan ditampilkan pada Minggu Kraf London (LCW) yang berlangsung dari 6 hingga 14 Mei ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menerajui pameran tersebut bertitah dua daripada produk berkenaan dari Terengganu iaitu Telepuk Terengganu dan Songket Terengganu, satu dari Pahang (Anyaman Pandakan oleh kaum Semelai) dan dua dari Sabah iaitu Anyaman Tikar Sabah dan Anyaman Lingkong atau Ribu-Ribu.
Selain itu, beberapa hasil kraf Sarawak juga akan diketengahkan antaranya Anyaman Bergerang, Ikat Iban Sarawak, Anyaman Penan dan Keringkam Sarawak di samping Anyaman Pandan Mah Meri dan Patung Moyang Mah Meri dari Selangor.
"Tahun lepas kita telah mengambil bahagian dalam LCW dengan mempromosikan tekstil warisan Tenun Pahang Diraja dan ia agak berjaya apabila menarik 3,000 pengunjung termasuk pereka fesyen.
"Justeru, berikutan respons yang baik, kita memutuskan untuk menampilkan produk kraf warisan tempatan kali ini kerana kebanyakan produk tersebut dihasilkan oleh generasi lama dan akan mati jika tidak dihidupkan semula," titah baginda dalam sidang media mengenai LCW di Istana Negara hari ini.
Tunku Azizah yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah selain mempamerkan hasil kraf, tujuh usahawan kraf juga akan 'diterbangkan' ke pameran bertema 'Malaysia's Heritage Crafts' itu untuk memberi demonstrasi tentang pembuatan kraf tertentu.
Mereka termasuk Shirley Vilin, Helena David dan Samri Abdul Rahman yang masing-masing akan mempersembahkan seni pembuatan Ikat Iban Sarawak, Sulam Manik dan Ancestral Carving.
"Oleh kerana kita juga mengetengahkan bengkel-bengkel interaktif berkenaan pembuatan kraf Bunga Moyang, Bakul Sarawak, manik dan sebagainya, maka kita sasarkan pameran kali ini akan menarik kira-kira 5,000 orang.
"Selain akan membuka peluang pasaran kepada pengusaha kraf untuk berkolaborasi dengan pereka antarabangsa dan gedung-gedung ternama serta galeri, kita berharap ia dapat menceritakan kisah kehidupan setiap etnik di Malaysia melalui 'craft language'," titah baginda.
-- BERNAMA
#Istana Negara #Raja Permaisuri Agong #Sulam Manik #Bakul Sarawak
;