14 pengikut Millah Abraham didakwa

Sinar Harian
Ogos 6, 2024 09:45 MYT
Seramai 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat pada Selasa. - Foto Sinar Harian
BATU PAHAT: Seramai 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa, atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ke atas kesemua 11 tertuduh lelaki dan tiga tertuduh perempuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 9 dan Seksyen 13(1)(b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali, juga akan dikenakan pelucutan hak dan hadir kaunseling, sekiranya disabitkan kesalahan.
Prosiding tersebut adalah untuk sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing di tempat tempat kejadian berlaku selari dengan Seksyen 67 Enakmen yang sama.
Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap kes dengan dua penjamin warganegara.
Sebelum itu, kesemua tertuduh dibawa menaiki van tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.45 pagi dengan dikawal rapi anggota polis dan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Sebelum itu, pada Ahad, media melaporkan 17 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat pada 1 Ogos lalu.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan kerjasama Unit Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Ajaran Millah Ibrahim/Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Antara fahaman salah ajaran ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada Syahadah berbeza. -- Sinar Harian
#pengikut ajaran sesat #ajaran Millah Abraham #memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak #mengingkari pihak berkuasa agama #pengikut didakwa #Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat