14 pendatang menyusup masuk negara secara haram ditahan di Tawau
Petrus Bernard
Januari 13, 2022 10:13 MYT
Januari 13, 2022 10:13 MYT
TAWAU: Empat belas pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyusup masuk negara ini melalui perairan Tawau ditahan pasukan Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di Kampung Hidayat di sini pada Rabu.
Komander ATB2 Brig Jen Abdul Karim Ahmad berkata, pasukan QRF yang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama kira kira jam 3.40 petang mengesan sebuah bot laju di perairan Tawau dalam keadaan mencurigakan.
Bot itu kemudiannya merapat ke jeti pemunggahan balak di kampung berkenaan dan terus memecut laju meloloskan diri selepas menurunkan semua penumpang, kesemuanya warga Indonesia.
"Tiga lelaki dewasa yang menyedari kehadiran pasukan QRF mengepung mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
"Pemeriksaan awal mendapati kesemua 14 penumpang bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Mereka terdiri daripada empat lelaki berumur 20 hingga 53 tahun, enam wanita berumur 17 hingga 69 tahun, tiga kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga sembilan tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun
Ketika siasatan awal secara lisan di lokasi kejadian, mereka mengakui dibawa masuk menggunakan bot laju dari Pulau Sebatik ke Tawau yang diatur oleh agen.
Kesemua PATI tersebut seterusnya ditahan bersama barangan peribadi mereka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.