14 pemancing, 4 kru hilang, bot dikhuatiri karam di perairan Langkawi
Astro Awani
Februari 26, 2022 18:53 MYT
Februari 26, 2022 18:53 MYT
LANGKAWI: Sebuah bot membawa empat kru dan 14 pemancing dilaporkan hilang dan dikhuatiri karam dipercayai akibat dipukul ribut di kedudukan 9.4 baru nautika barat Pulau Beras Basah, dekat sini, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku jam 2 petang tadi.
"Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah bot dilaporkan hampir karam itu.
"Bot KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi Carilamat (SAR) sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi sahabat termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta komuniti nelayan setempat.
Katanya, sektor operasi diperluaskan dari lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan.
"Penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.
"Sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot mereka," katanya.