14 parah bas kilang bawa 37 penumpang terbabas dalam gaung
Shuhada Abdul Kadir
September 24, 2022 23:46 MYT
September 24, 2022 23:46 MYT
ALOR GAJAH: Seramai 14 pekerja kilang warga asing termasuk seorang pemandu parah selepas bas yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Simpang Gading/Kesang Pajak, di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, 24 lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, kejadian yang melibatkan pekerja warga Myanmar dan Nepal itu bagaimanapun tidak melibatkan kematian.
"Insiden itu dipercayai berlaku apabila bas yang membawa pekerja kilang dari Ayer Keroh ke asrama pekerja di sini sebelum tiba-tiba mengalami masalah brek.
“Bas itu kemudian meluncur sejauh kira-kira 150 meter ke tebing jalan dan tersangkut pada pokok sehingga menyebabkan kesemua mangsa terpaksa keluar melalui tingkap bagi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut katanya, kerja-kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 45 minit dan kesemua mangsa yang parah telah dihantar ke Hospital Jasin manakala mangsa yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di klinik berhampiran.
“Pihak bomba terima panggilan pada jam 7.57 malam tadi sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bestari dan Alor Gajah dengan kekuatan 27 anggota di kerahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa-manga yang terlibat juga telah keluar dengan bantuan orang awam yang mana bas berkenaan tersangkut kira-kira 50 meter dari jalan utama,” tambahnya.