14 mangsa terselamat tragedi bot karam negatif COVID-19
Muhammad Aiman Hakeem
Disember 16, 2021 11:16 MYT
Disember 16, 2021 11:16 MYT
KOTA TINGGI: Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam tragedi bot terbalik di Tanjung Balau dikesan negatif menerusi ujian saringan COVID-19
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, keputusan itu hasil saringan yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sungai Rengit.
"Keputusan ujian saringan COVID-19 yang dibuat terhadap 14 mangsa yang selamat adalah negatif COVID-19
"Difahamkan semua PATI yang sebelum ini ditahan di Pos Tanjung Sepang telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
"Kesemua mangsa yang selamat terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita," katanya.
Di samping itu, Pegawai Hal Ehwal Informasi dan Sosio Budaya Konsulat Indonesia di Johor Bahru, Andita Putri Purnama dalam satu kenyataan berkata, Konsulat Jeneral Rapublik Indonesia (KJRI) akan memantau perkembangan pencarian korban dan untuk identifikasi jenazah di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Jelas Andita, KJRI juga membuka nombor 'hotline; sekiranya ada anggota keluarga di Indonesia yang mahu mendapatkan maklumat mangsa.
"Untuk informasi mengenai mangsa bot karam, boleh menghubungi hotline KJRI Johor Bahru pada nombor +6016-7700378 atau +6017-7716866.
"Mangsa yang selamat semalam dibawa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kakitangan KJRI Johor Bahru memberikan pendampingan kekonsuleran (pendataan dan verifikasi dengan anggota keluarga di Indonesia) serta memastikan tahap kesihatan mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pihaknya turut menasihati warganegara Indonesia agar tidak menggunakan jalan yang tidak diwartakan untuk keluar dan masuk Malaysia.