14 lelaki ditahan di Danau Kota
Astro Awani
Disember 21, 2012 07:00 MYT
Disember 21, 2012 07:00 MYT
Polis menahan 14 lelaki dipercayai anggota dua kumpulan samseng yang bergaduh di sebuah pusat hiburan di Danau Kota awal pagi Jumaat.
Pelbagai senjata turut dirampas termasuk empat botol mineral dijadikan bom petrol.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa, semasa rondaan, pihak polis terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.
Penahanan dua individu terbabit mendorong kepada penangkapan 12 lagi lelaki yang sedang berkumpul di hadapan sebuah pusat hiburan.
“Daripada tangkapan ini kami telah merampas sejumlah lima bilah parang, dua batang besi, empat batang rotan serta wayar kabel yang dipercayai untuk digunakan sebagai senjata,”Khairi berkata.
Siasatan polis mendapati pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan terbabit adalah dari 'Geng 08' dan 'Geng 18' yang begitu aktif di sekitar kawasan tersebut.
"Malah dua dari suspek yang ditahan itu turut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah," kata Khairi.
Tambah Khairi, polis percaya dua tangkapan awal itu melibatkan mereka yang terbabit dengan beberapa siri kes bakar motosikal di sekitar Pusat Perumahan Rakyat di Setapak, sebelum ini.
Suspek-suspek yang berumur antara 19 hingga 30 tahun itu direman sehingga 25 Disember untuk membantu siasatan.