14 hari masa untuk Haziq beri surat tunjuk sebab

Afiezy Azaman
Jun 19, 2019 20:32 MYT
Haziq perlu kemuka surat tunjuk sebab kerana telah mencemarkan nama baik PKR. - Gambar fail
Haziq Abdullah Abdul Aziz perlu memberi surat tunjuk sebab ekoran pengakuan terbuka yang dibuatnya berhubung rakaman video intim yang turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, tempoh masa selama 14 hari bermula esok (Khamis) diberikan kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu untuk menjelaskan pada parti motif tindakannya itu.
"Haziq perlu beri surat tunjuk sebab kerana telah mencemarkan nama parti, menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi keperibadian kepimpinan parti.
"Lembaga Disiplin ambil maklum penafian oleh Timbalan Presiden Mohamed Azmin dan akan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada dan kami juga menunggu siasatan serta dapatan daripada PDRM atau pihak berkuasa lain.
"Lembaga Disiplin juga ingin memberi amaran keras kepada semua anggota parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada pimpinan parti," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, di Ibu Pejabat PKR di Damansara, di sini pada Rabu.
Dalam sidang media sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kepimpinan PKR akan menunggu laporan siasatan penuh oleh pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap anggota parti yang terlibat.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin PKR telah dipersetujui semua kepimpinan parti termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Ada hebahan kononnya ada keretakan dalam isu ini. Kita serahkan kepada Lembaga Disiplin yang memutuskan dan dimaklumkan kepada biro politik yang dihadiri oleh semua.
"Keputusan ini secara konsensus memperakui keputusan Lembaga Disiplin oleh Biro politik. Saya ulang perkara ini telah dipersetujui begitu juga pertemuan saya dengan pimpinan Sabah, Sarawak umumnya tanpa kecuali," jelas Anwar lagi.
Minggu lalu, sedutan rakaman video yang memaparkan hubungan intim sesama jenis tular di media sosial.
Sehari selepas video itu diedarkan, Haziq tampil membuat pengakuan dia merupakan individu yang sedang beraksi dengan seorang lelaki lain mirip seorang pemimpin kanan PKR dan kerajaan.
Haziq mendakwa, perlakuan sumbang itu dilakukannya di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.
Susulan itu juga, Azmin pula menafikan beliau adalah pasangan dalam rakaman video intim itu.
Menurut Azmin, dakwaan kononnya beliau individu dalam video itu merupakan satu cubaan jahat dan fitnah yang mahu menjejaskan kredibilitinya.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Haziq Abdullah Abdul Aziz #Haziq diberi masa 14 hari beri surat tunjuk sebab #Ketua Angkatan Muda Keadilan #Santubong
;