14 dikompaun berhibur tanpa patuh SOP semasa PKPB di Kota Kinabalu

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 31, 2020 18:04 MYT
Antara pengingkar PKPB yang ditahan dan kemudian dikompaun di sebuah premis hiburan di Kota Kinabalu pada Jumaat. - PDRM
KOTA KINABALU: Keseronokan berhibur tanpa beringat tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang 'padah' buat 14 individu.
Kesemua individu terbabit dikompaun dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada lewat malam Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji serbuan dibuat ketika pemantauan Op COVID-19 PKPB di sekitar daerah tersebut.
"Pada 11.30 malam sepasukan pegawai dan anggota telah membuat pemeriksaan di salah sebuah pusat hiburan dan hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi dengan beberapa orang pelanggan sedang berhibur sambil minum minuman beralkohol.
"Pemeriksaan dibuat ke atas 11 orang lelaki dan tiga perempuan yang berada dalam premis.
"Kesemuanya didapati menjalankan perniagaan, mengunjungi dan minum di dalam premis ini yang mana mereka telah melakukan aktiviti terlarang dalam tempoh PKPB," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya kesemua individu terbabit melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 8) 2020.
#SOP #PKPB #Sabah #Kota Kinabalu #pandemik #COVID-19
;