14 cedera termasuk kanak-kanak serangan bom di Sungai Golok

Bernama
Jun 24, 2017 07:20 MYT
12 anggota tentera Thailand dan dua orang awam termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera dalam kejadian serangan bom di Kampung Lubuk Sama kira-kira 7 malam waktu tempatan semalam. --fotoBERNAMA
Dua belas anggota tentera Thai dan dua orang awam cedera apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang pada sebuah motosikal meletup di Kampung Lubuk Sama di sini, malam tadi.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, cedera parah dalam kejadian yang berlaku pada 7 malam waktu tempatan ketika menaiki motosikal bersama bapanya, yang turut tercedera.
"Bom seberat 25kg itu menyasarkan sebuah trak anggota tentera Task Force Narathiwat yang sedang dalam perjalanan pulang ke markas mereka," kata Ketua Polis Sungai Golok Kol Prayuth Ponsanti hari ini.
Kanak-kanak terbabit dikenali Phatranan Haji Salamae cedera parah terkena serpihan bom itu, dan kedua-dua beranak itu sedang menerima rawatan di Hospital Narathiwat Rachanakarin.
Kesemua anggota tentera pula menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
-- BERNAMA
#bom #cedera #Kampung Lubuk Sama #motosikal #orang awam #Sungai Golok #tentera #Thai