14 borang pencalonan PRK DUN Tanjung Datu dibeli - SPR

Bernama
Februari 2, 2017 19:16 MYT
Sebanyak 14 borang pencalonan bagi PRK DUN Tanjong Datu telah dibeli setakat hari ini, kata Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah. - Gambar fail
Sebanyak 14 borang pencalonan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu telah dibeli setakat hari ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah.
Beliau berkata borang berkenaan dibeli oleh tujuh individu termasuk wakil daripada Barisan Nasional (BN) menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.
"Tujuh individu itu masing-masing membeli dua set, menjadikan jumlah 14 set borang telah dibeli," katanya ketika dihubungi Bernama petang ini.
PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya, yang juga ketua menteri kelima Sarawak Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas.
Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.
Takun berkata sebanyak 250 kakitangan SPR akan terlibat dalam PRK DUN Tanjong Datu itu nanti.
SPR menetapkan 12 Feb bagi pengundian awal dan 18 Feb bagi pengundian sekiranya ada pertandingan.
-- BERNAMA
#BN #Datuk Takun Sunggah #DUN #PRK #SPR #Tanjong Datu
;