14 akta perlu dipinda dalam ratifikasi CPTPP - Azmin

Ridauddin Daud
Mac 7, 2022 11:32 MYT
Menurut Mohamed Azmin, lima akta lain masih dalam proses pindaan dan dijangka dibentangkan mengikut jadual kementerian yang bertanggungjawab. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 akta di peringkat kerajaan persekutuan perlu dipinda dalam usaha kerajaan meratifikasi dan menguatkuasakan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Menteri Perdagangan Antarabangasa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pindaan itu adalah untuk memenuhi komitmen negara di bawah CPTPP.
Ia juga bagi memastikan pembaharuan struktur di peringkat domestik dan supaya undang-undang negara sentiasa dikemas kini dan selaras dengan perjanjian serta piawaian antarabangsa.
“Sehingga kini, sebanyak sembilan akta di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibentang dan diluluskan dalam Parlimen.
“Akta-akta tersebut adalah seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta SPRM 2009, Akta Kanak-Kanak, Orang Muda, Pekerjaan 1966 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
“Selain itu, akta yang telah dipinda juga ialah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Hak Cipta 1987,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamed Azmin berkata demikian menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya bilangan akta yang perlu dipinda dalam meratifikasi CPTPP.
Tambah beliau, lima akta lain masih dalam proses pindaan dan dijangka dibentangkan mengikut jadual kementerian yang bertanggungjawab.
Akta tersebut ialah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh Sabah Bab 67, Ordinan Buruh Sarawak Bab 76 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1968.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak itu juga menegaskan analisis kos-manfaat (CBA) berkenaan perjanjian itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri bagi mendapatkan makluman daripada mereka.
“Kemudian, ia akan dimuat naik untuk maklumat awam khususnya bagi mereka yang berkepentingan. Kalau berminat untuk dapatkan, saya percaya maklumat itu tersedia dalam laman sesawang MITI,” ujarnya.
#Azmin Ali #Dewan Rakyat #ratifikasi CPTPP #pinda akta
;