14.3 peratus mahasiswa pernah ditawarkan rasuah - Kajian UPM
Abd Azharee Abdul Wahid
Julai 28, 2021 00:08 MYT
Julai 28, 2021 00:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai tingkah laku mahasiswa terhadap rasuah mendapati, 14.3 peratus daripada 2,254 responden kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengaku pernah ditawarkan rasuah.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan berkata, daripada peratusan itu, 2.5 peratus atau 56 responden mengambilnya.
Dalam masa sama, 11.8 peratus mahasiswa berkenaan pernah ditawarkan rasuah, namun tidak mengambilnya.
"Mahasiswa ini terdiri daripada mereka yang ada jati diri yang tinggi di mana mereka terdiri daripada mahasiswa IPTA, 12.2 peratus dan IPTS 10.6 peratus.
"Manakala, 11.4 peratus responden pernah diminta melakukan rasuah. Daripada peratusan itu, 11.1 peratus diminta melakukan rasuah tetapi tidak melakukannya dan hanya 2.3 peratus daripada responden diminta melakukan rasuah dan melakukannya," katanya semasa membentangkan Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa anjuran Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, bagi kajian kecenderungan terhadap tingkah laku rasuah pula mendapati, hanya 2.3 peratus reponden bersetuju dengan soalan mengenai "sekiranya saya mempunyai kuasa dan peluang, saya akan melakukan rasuah".
Hasil kajian itu didapati lebih baik berbanding dapatan yang diperoleh melalui kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi soalan sama pada 2003.
"Soalan ini pernah ditanya kepada mahasiswa 18 tahun dulu, iaitu dapatan oleh UKM pada 2003 yang mendapati 30.5 peratus mahasiswa menyatakan ya.
"Namun, tahun ini kita tanya soalan sama, dan hasil dapatan hanya 2.3 peratus respoden cakap ya," jelasnya.
Mengenai soalan 'saya mengutamakan kenalan, keluarga untuk kerja dan perjawatan', sebanyak 10.6 peratus responden menjawab ya.
Selain itu, antara syor yang dikemukan melalui kajian berkenaan ialah mengambil perhatian terhadap penubuhan Gerakan Anti-Rasuah Mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mewujudkan satu Biro Khas berkaitan integriti dan anti-rasuah di bawah MPP di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) dan promosi kempen benci rasuah.
"Kajian juga menyokong kerajaan melaksanakan kursus integriti dan rasuah sebagai subjek elektif di semua IPT mulai September 2021 dan subjek 2030," ujarnya.
#Kajian
#tingkah laku
#Rasuah
#mahasiswa
#IPT
#integriti
#Institusi Pengajian Tinggi
#Malaysia
#pelajar
#UPM