138 motosikal, 20 kereta 'singgah sahur' di Balai Polis Kota Setar

Adie Sufian Zulkefli
April 1, 2023 09:30 MYT
175 individu ditahan untuk tujuan pemeriksaan apabila polis mengadakan kepungan serentak di sekitar Jalan Pegawai Alor Setar awal pagi ini. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Kesempatan sepertiga malam di bulan Ramadan yang sepatutnya diisi dengan aktiviti kerohanian disia-siakan sekumpulan remaja yang memilih untuk menggadai nyawa dengan terlibat aktiviti 'samseng jalanan' di sekitar Jalan Pegawai Alor Setar, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, intipan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar di lokasi telah mengesan sekumpulan remaja bermotosikal sedang asyik berlumba sesama sendiri.
“Malah, remaja ini menunggang secara berbahaya dengan melakukan pelbagai aksi tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Aktiviti kumpulan remaja bermotosikal ini akhirnya tersentak apabila seluruh laluan sekitar Jalan Pegawai Alor Setar dikepung serentak oleh pasukan operasi pada jam 3 pagi.
“Hasilnya, sebanyak 138 motosikal dan 20 kereta melibatkan 175 individu berjaya ditahan untuk tujuan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 138 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Pada masa sama, Ahmad Shukri berkata, empat motosikal turut disita untuk tindakan lanjut.
#Alor Setar #motosikal #Ramadan #remaja berlumba
;