137 pelajar kolej di Temerloh dijangkiti ILI - Subramaniam

Astro Awani
September 22, 2014 10:16 MYT
SUBRAMANIAM: 137 pelajar kolej di Temerloh dijangkili ILI.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejumlah 137 daripada keseluruhan 531 orang pelajar Kolej Vokasional Temerloh, Pahang mendapat kluster 'Influenza Like Illness (ILI)' atau gejala seakan Influenza baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, bilangan pelajar yang mendapat ILI itu direkodkan sejak Khamis lepas sehingga semalam.
Menurutnya, tiada pelajar yang serius akibat gejala ILI selain stabil dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Temerloh dan klinik berdekatan.
"Kita sudah mendapat keputusan mereka mendapat Influenza flu yang cepat boleh merebak daripada satu orang ke satu orang lain dan sejumlah 137 daripada 531 murid di kolej itu.
"Seramai 137 telah mendapat demam dan selepas kajian menunjukkan mereka dapat satu influenza yang bukan merbahaya tetapi senang dijangkiti.
"Kolej itu mengambil langkah mengasingkan pesakit agar penyakit tidak merebak dan mereka akan sembuh di dalam beberapa hari," katanya.
Subramaniam berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolej Kejururawatan Kuala Pilah di sini hari ini.
Katanya, pelajar yang menghidapi gejala ILI didapati mengalami tanda jangkitan Influenza yang ringan, batuk, sakit tekak dan demam.
Tambahnya, hasil ujian sampel swab tekak yang dilakukan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh mengesahkan pelajar berkenaan dijangkiti Virus Influenza A (H3) iaitu virus selsema bermusim yang biasa menyebabkan kluster ILI.
Jelas Subramaniam, kejadian yang berlaku di Kolej Vokasional Temerloh itu merupakan kejadian terpencil dan keadaan adalah terkawal.
Ketika ditanya mengenai lambakan jururawat kelulusan kolej kejururawatan swasta yang masih menggangur dan mendapat peluang pekerjaan yang lain, Subramaniam berkata, kementeriannya sedang mencari jalan membantu mereka.
Tahun ini katanya, Kementerian Kesihatan mengambil 1,600 jururawat lulusan kolej kejururawatan swasta untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun ujarnya, jumlah pengambilan itu akan dikaji setiap tahun.
Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam menasihati jururawat kerajaan supaya mengikuti kursus pengkhususan dalam satu-satu bidang pos basik.
Katanya, walaupun bilangan jururawat mencukupi tetapi jururawat pos basik masih belum mencukupi, bukan sahaja dalam perkhidmatan kerajaan, malah juga di sektor swasta.
"Kita nasihat jururawat selepas satu tahap pengkhususan 11 bidang walau jumlah jururawat cukup, ia masih tidak cukup untuk post basic bukan sahaja di dalam kerajaan namun juga pada sektor swasta.
"Kita sedang memberi tumpuan latihan pos basik, bagaimana hendak menambah tempat supaya ada lebih banyak jururawat," ujarnya.
Kementerian Kesihatan kini mempunyai 33 kolej dan daripada jumlah itu, 16 kolej menyediakan diploma kejururawatan dan selain kini seramai 3,380 orang yang sedang mengikuti latihan untuk memperoleh diploma kejururawatan.
Sementara itu, dalam satu kenyatan, Subramaniam menjelaskan, pelajar berkenaan tidak dikuarantin sebagaimana yang dilaporkan.
"Pelajar dengan gejala ILI dibekalkan topeng mulut dan hidung (face mask) dan juga pendidikan kesihatan diberikan supaya kerap mencuci tangan dengan sabun (hand hygiene), etika batuk serta menjarakkan diri ketika bersosial.
"Pelajar-pelajar yang sihat tanpa gejala ILI dibenarkan untuk menghadiri kelas seperti biasa," jelas kenyataan itu.
Subramaniam turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.
Katanya, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat berkesan kepada semua jenis influenza dan juga penyakit-penyakit berjangkit yang lain.
#ILI #Influenza #kesihaan #kolej #subramaniam #temerloh #vokasional