135 aduan keganasan rumah tangga diterima sepanjang PKP

Hasimi Muhamad
April 16, 2020 16:38 MYT
Ismail Sabri berkata PDRM melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. - Gambar hiasan.
Sebanyak 135 aduan keganasan rumah tangga (KRT) diterima melalui Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan berharap masyarakat memainkan peranan mereka sebagai jiran tetangga dengan menyalurkan aduan dengan segera jika mendapat maklumat.
"Talian Kasih 15999 di bawah KPWKM telah menerima 135 panggilan berhubung insiden yang melibatkan keganasan rumah tangga sepanjang PKP.
"Kita memohon kepada orang ramai untuk terlibat sama dalam membantu... mungkin mangsa yang terlibat dalam keganasan rumah tangga tersebut tidak berani membuat aduan dan sebagainya... atau mungkin telefon mereka dirampas, jadi mereka tiada ruang untuk membuat aduan walaupun di Talian Kasih.
"Jadi, saya memohon kepada orang ramai terutamanya jiran tetangga supaya membantu jika mendengar sesuatu yang mencurigakan di sebelah rumah mereka dan terus membuat aduan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke polis di talian 019-2615999," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Jadi, saya mendoakan semoga rumah tangga kita semua aman dan damai walaupun sudah satu bulan berada bersama di dalam rumah. Kalau ada perlakuan (keganasan domestik) sebegitu, tolong laporkan," katanya.
#COVID-19 #Ismail Sabri #keganasan #keganasan domestik #mangsa #PDRM #PKP #Polis Diraja Malaysia #Rumah Tangga #wanita #WhatsApp
;