133 penyata kewangan agensi persekutuan diberi sijil tanpa teguran - Ketua Audit Negara
Bernama
Februari 24, 2025 11:30 MYT
Februari 24, 2025 11:30 MYT
Wan Suraya berkata setakat 8 Jan, sebanyak 142 daripada 145 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2023 telah dikemukakan dan selesai pensijilan oleh Ketua Audit Negara. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 133 daripada 142 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2023 telah menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Beliau berkata sembilan agensi menerima sijil dengan Pendapat Diubahsuai, termasuk lapan dengan Pendapat Berteguran dan satu dengan Pendapat Bertentangan.
"Hanya satu agensi mendapat pensijilan Pendapat Diubahsuai bagi tiga tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2023, berbanding tiga agensi pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Suraya berkata setakat 8 Jan, sebanyak 142 daripada 145 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2023 telah dikemukakan dan selesai pensijilan oleh Ketua Audit Negara.
Beliau berkata tiga agensi masih belum mengemukakan penyata kewangan mereka, iaitu Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Tabung Kebajikan Kakitangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (TLFSA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Wan Suraya berkata laporan mendapati 142 Agensi Persekutuan memiliki aset berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti RM0.871 trilion, namun lima agensi mencatatkan liabiliti melebihi aset mereka.
Beliau berkata sebanyak 98 agensi menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, manakala 97 agensi mempunyai baki geran pembangunan berjumlah RM21.399 bilion.
"Sebanyak 20 agensi mempunyai pinjaman berjumlah RM126.564 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan termasuk lima daripadanya merupakan pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM99.058 bilion.
"Manakala empat agensi membuat pinjaman baharu berjumlah RM7.309 bilion pada tahun 2023," katanya.
Wan Suraya berkata sebanyak 59 agensi memiliki 217 syarikat subsidiari dengan pelaburan RM65.145 bilion dan 131 daripada syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan RM4.087 bilion, manakala 86 syarikat mengalami kerugian RM2.810 bilion.
"Hanya 81 syarikat subsidiari membayar dividen berjumlah RM2.829 bilion kepada 32 agensi, termasuk 14 syarikat yang membayar dividen RM1.432 bilion meskipun mengalami kerugian," katanya.
Laporan turut mendedahkan bahawa 39 agensi telah memberikan pendahuluan dan pinjaman kepada 94 syarikat subsidiari berjumlah RM16.849 bilion.
Beliau berkata sebanyak 97 agensi mencatatkan lebihan semasa selepas cukai dan zakat berjumlah RM73.886 bilion, manakala 45 agensi mengalami kurangan semasa sebanyak RM2.011 bilion bagi tahun 2023.
Pembentangan LKAN yang pertama bagi tahun ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu Pengesahan Penyata Kewangan, Analisis Penyata Kewangan dan Fokus Utama Audit (Key Audit Area - KAA).
-- BERNAMA