132 pelajar Malaysia di Rusia bersyukur dapat pulang ke tanah air

Dr Azlinariah Abdullah
Julai 19, 2020 11:29 MYT
Misi yang diusahakan bersama kedutaan Malaysia di Rusia dan Lavender Tours ini membolehkan mereka menyambut Aidiladha bersama keluarga. -Gambar hiasan
HANYA kesyukuran dipanjatkan 132 penuntut institusi pengajian tinggi di Rusia apabila selamat tiba di tanah air melalui pesawat penerbangan khas Egypt Air pukul 9.40 pagi Ahad.
Peluang ini sekali gus memberikan nafas lega kepada ibu bapa yang risau kesihatan anak mereka di negara keempat teratas kes jangkitan COVID-19 iaitu dengan hampir 10,000 kes direkodkan setiap hari.
Bagi penuntut beragama Islam, misi membawa pulang ini yang diusahakan bersama kedutaan Malaysia di Rusia dan Lavender Tours ini amat dihargai kerana ia sekali gus membolehkan mereka menyambut Aidiladha bersama keluarga tercinta walaupun bukan pada raya pertama.
Penuntut perubatan Volgograd State Medical Universiti, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, 20, berkata dia bersyukur dapat pulang dan berterima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia, Lavender Tours serta kerajaan Rusia yang menguruskan penerbangan pulang rakyat Malaysia.
"Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini, kami membuat pemeriksaan kesihatan dan seterusnya akan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.
"Sejujurnya saya berasa agak sedih tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung pada raya pertama namun mencegah penularan wabak COVID-19 harus menjadi keutamaan," katanya.
Menurut Ahmad Ashraff Haiqal yang berasal dari Kuala Lumpur, ibu bapa dan seluruh keluarganya bersyukur dan lega selepas dimaklumkan dia dapat peluang pulang dari Rusia.
"Penerbangan saya sebelum ini (pesawat komersial) dibatalkan kerana larangan dan sekatan keluar masuk pesawat luar ke dalam ruang udara Rusia.
"Jadi, saya putuskan untuk tidak pulang walaupun hati teringin sangat mahu dekat dengan keluarga di hari raya Aidiladha.
"Akhirnya, saya dimaklumkan ada pesawat Egypt Air yang mengendalikan urusan membawa pulang pelajar-pelajar dari Rusia, jadi saya mendaftar dan akhirnya dapat pulang,'' katanya.
Bagi Katrina Nur Maria Nor Azman, 23, penuntut jurusan Perubatan di University Kursk, dia bersyukur dan gembira akhirnya dapat pulang ke tanah air.
"Sebelum ini saya risau kerana ramai yang berpendapat kemungkinan kami tidak dapat pulang ke Malaysia tahun ini malah kerajaan (pada mulanya) turut menasihatkan kami tinggal di Rusia.
"Tiada masalah untuk menjalani kuarantin selama 14 hari kerana saya rasa perkara itu perlu dilakukan walaupun kini arahannya ialah kuarantin di rumah, semuanya demi kesihatan,'' katanya.
Anak kedua dari tiga adik beradik itu berkata, tidak dapat bersama keluarga di hari raya pertama adalah perkara biasa kerana sebelum ini pernah beraya di perantauan.
"Sambutan Aidiladha kali ini pasti berbeza yang bukan sahaja dirasai kami yang perlu jalani kuarantin malah semua umat Islam di seluruh dunia.
"Diberi peluang pulang ke tanah air sudah cukup bermakna bagi saya," katanya yang juga beberapa kali tiket penerbangan pulang ke Malaysia dibatalkan kerana larangan masuk pihak berkuasa Rusia ke atas pesawat asing di ruang udaranya disebabkan COVID-19.
Mengikut perancangannya, jika 14 hari kuarantin wajib di rumah bermula 19 Julai, ia akan berakhir pada 1 Ogos 2020 iaitu hari kedua sambutan hari raya Aidiladha.
Selain itu, Narventh, 20, berkata kepulangan dia dan adiknya Preety yang juga belajar di Volgograd sememangnya dinantikan bapanya.
"Bapa kami risau keadaan kami (di Rusia). Beliau tidak sabar menunggu kepulangan saya dan adik.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan proses membawa kami pulang ke Malaysia," katanya.
Ahmad Ashraff Haiqal, Katrina Nur Maria dan Narventh merupakan antara 132 pelajar pelbagai universiti dari Rusia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, pada pukul 9.40 pagi selepas berlepas dari Moscow pada 3 petang semalam waktu tempatan.
Kepulangan mereka menggunakan sewaan Egypt Air itu dimudah cara Kedutaan Besar di Moscow, Rusia dan Lavender Tours dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sepenuhnya penumpang.
Dalam Twitter rasmi kedutaan Malaysia di Moscow, ia memaklumkan pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo sebelum transit seketika di Kaherah.
Selain pelajar, baki penumpang ialah 6 warga Malaysia yang terkandas beberapa lama berikutan larangan dan penangguhan operasi penerbangsan di Rusia.
Kesemua mereka, sejurus tiba di KLIA, terlebih dahulu menjalani ujian pemeriksaan kesihatan COVID-19.
Mereka yang diuji negatif dibenarkan pulang untuk kuarantin di rumah selama 14 hari bermula Ahad.
Manakala kes positif pula dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan susulan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak berkata, perwakilan Malaysia di luar negara akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat COVID-19.
"Masih ramai pelajar Malaysia yang berada di Rusia, jika kes di Rusia ini menunjukkan aliran terus meningkat hari demi hari, ini sudah tentu membimbangkan kami.
"Justeru itu, kami akan bertindak mengikut kesesuaian sebagai contoh, memberi nasihat sewajarnya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,'' katanya.
Daripada 887 warga Malaysia yang berada di Rusia, lebih 700 adalah pelajar yang menuntut pelbagai jurusan di pelbagai universiti diiktiraf di Rusia.
Untuk rekod, Rusia sehingga kini mencatatkan lebih 700,000 kes positif COVID-19 dan menjadi negara keempat catat kes tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, Brazil dan India.
#Aidiladha #COVID-19 #EGYPT AIR #hari raya #kes positif #KLIA #koronavirus #kuarantin #larangan pesawat #Malaysia #Moscow #pelajar #penerbangan #perubatan #pesawat #rakyat Malaysia #rumah #Rusia
;