131 pelajar tahfiz, 12 warden terselamat dalam kebakaran
Petrus Bernard
Januari 23, 2022 09:58 MYT
Januari 23, 2022 09:58 MYT
TAWAU: Seramai 131 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj, Jalan Pintas Kampung Bombalai, di sini bersama 12 warden terselamat dalam satu kebakaran di bilik asrama pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 berkaitan kejadian itu pada jam 3.22 petang.
16 pegawai dan anggota bersama dua buah jentera FRT dan sebuah van EMRS digegaskan ke lokasi kejadian.
"Pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 300 kaki dengan satu pancutan sumber air dari jentera.
"Pasukan bomba turut mengalami kesukaran pemadaman kerana ketiadaan sumber air terbuka dan mendapatkan sumber air dari pili bomba Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai sejauh 2 kilometer.
"Api dapat dikawal pada jam 4.36 petang daripada terus merebak dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 5.41 petang," katanya.
Kebakaran memusnahkan 100 peratus dua unit bilik asrama berukuran 30 x 30 kaki persegi serta 50 peratus sebuah bilik lain.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.