131 mangsa pemerdagangan orang diselamatkan tahun ini - Rina

Bernama
Ogos 4, 2022 18:23 MYT
RINA: Majoriti mangsa dieksploitasi sebagai pekerja buruh dan selebihnya bagi kerja-kerja pelacuran termasuk penjualan kanak-kanak. - Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Sebanyak 131 mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Dalam Negeri bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata kesemua mereka kini ditempatkan di rumah perlindungan milik kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta diberi perintah perlindungan interim (IPO).
Beliau berkata, mangsa sebenarnya berhasrat mahu mencari kerja di Malaysia dan dijanjikan dengan pelbagai faedah termasuk gaji lumayan oleh sindiket, namun setibanya di Malaysia mereka ditipu dan akhirnya terpaksa menjadi pelacur.
"Majoriti mangsa dieksploitasi sebagai pekerja buruh dan selebihnya bagi kerja-kerja pelacuran termasuk penjualan kanak-kanak membabitkan mangsa dari Thailand, Vietnam dan Indonesia," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Sedunia 2022, di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merasmikan sambutan berkenaan pula berkata ekonomi negara yang stabil dan progresif dikenal pasti menjadi faktor penarik berlakunya penambahan aktiviti pemerdagangan orang ke Malaysia setiap tahun.
Hamzah berkata, keupayaan negara menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat luar selain masalah dalaman terutamanya berkait ekonomi di negara jiran turut menyumbang kepada permasalahan sama.
"Kalau tengok daripada statistik anti pemerdagangan orang, berlaku pertambahan setiap tahun. Sebabnya, Malaysia ada faktor penarik (ekonomi) di mana kita mampu beri pekerjaan kepada mereka.
"Manakala, faktor penolak di negara jiran pula sebabkan rakyat mereka tertekan di negara masing-masing. Jadi, ramai rakyat dari Indonesia, Vietnam, Kemboja dan negara-negara ASEAN datang ke sini, sebab di negara mereka susah dapat kerja," katanya.
Hamzah berkata ramai rakyat dari negara jiran datang ke Malaysia dan menjadi mangsa beberapa sindiket pemerdagangan orang yang mengambil kesempatan dan menjana keuntungan besar.
-- BERNAMA
#pemerdagangan orang #Rina Harun #rumah perlindungan #mangsa eksploitasi
;