130,101 permohonan IPR diterima sehingga 2 November - Kementerian Ekonomi

Bernama
November 9, 2023 13:56 MYT
GAMBAR FAIL: Kakitangan Majlis Bandaraya Ampang Jaya (MPAJ), Nurul Nadia Azmi membeli makanan menggunakan Vending Machine Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) selepas Majlis Pelancaran IPR di LRT Cempaka. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sejumlah 130,101 permohonan telah diterima daripada rakyat Malaysia untuk menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sehingga 2 November lepas, kata Kementerian Ekonomi.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian memaklumkan daripada keseluruhan permohonan, sejumlah 48,606 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif yang ditawarkan.
Ia meliputi 20,901 pemohon di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 13,174 pemohon di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 14,531 pemohon bagi Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
"Di bawah INTAN, sejumlah 1,020 peserta telah diluluskan untuk pelaksanaan program di 16 lokasi berkeluasan 818 ekar (331.03 hektar) di seluruh negara dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM92.6 juta.
"Bagi INSAN, sejumlah 97 peserta telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan program dan terdapat peserta yang berjaya meraih hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan.
"Manakala di bawah IKHSAN pula, sejumlah 1,032 peserta telah diluluskan pelaksanaan program dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM14.2 juta," kata kementerian berkenaan bagi menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kementerian Ekonomi menegaskan pendekatan membasmi kemiskinan tegar sedia ada menerusi pelaksanaan program bersasar sama ada secara individu, komuniti atau hibrid diteruskan berdasarkan profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dikenal pasti di seluruh negara.
"Sehingga kini, sejumlah 1,901 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah diluluskan bagi melaksanakan projek dengan peruntukan sebanyak RM24.8 juta di seluruh negara," kata kementerian berkenaan.
-- BERNAMA
#permohonan IPR #Inisiatif Pendapatan Rakyat #November #Kementerian Ekonomi