13 warga Nepal diberkas cuba cetus rusuhan selepas rakan maut kes langgar lari
Abd Razak Mohd Ali
Mac 15, 2025 09:15 MYT
Mac 15, 2025 09:15 MYT
Sebahagian daripada 1,000 pekerja sebuah kilang berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, pada Jumaat malam.
TELUK INTAN: Polis menahan 13 pekerja kilang warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal dalam kenyataannya berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sekitar jam 9.35 malam tadi, Bilik Gerakan Daerah Hilir Perak menerima panggilan mengenai satu kejadian kemalangan maut langgar lari melibatkan seorang pejalan kaki warga Nepal di Batu 8, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Ekoran kejadian itu, kira-kira 1,000 pekerja sebuah kilang turun ke tempat kejadian dan berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak polis telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi.
Keadaan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 2 pagi ini selepas semua pekerja berkenaan kembali ke asrama masing-masing.
Katanya, kes kemalangan langgar lari disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohammad Syamil di talian 011-10065817.
Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan pekerja warga asing berkumpul di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.
Sementara itu, Bakri berkata, Mahkamah Majistret Teluk Intan telah mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap kesemua mereka yang ditahan.
Menurutnya, perintah reman bermula hari ini hingga 18 Mac depan adalah bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu membuat rusuhan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kejadian ini untuk memastikan keselamatan awam terjamin dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang,” katanya.
Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi.
#langgar lari
#warga Nepal
#rusuhan
#pekerja kilang
#Mahkamah Majistret Teluk Intan
#Jalan Changkat Jong