13 warga asing ditahan di perairan Pulau Pangkor dan Bagan Datuk

Aida Aziz
September 24, 2020 02:23 MYT
Antara lelaki warga asing yang ditahan dalam Ops Khas di perairan Pulau Pangkor dan Bagan Datuk semalam. -Foto APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 13 lelaki warga asing dalam Ops Khas di perairan Pulau Pangkor dan Bagan Datuk, dekat sini, semalam.
Menurut Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai permit kerja serta dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, penahanan itu membabitkan sebuah bot nelayan tempatan yang menggaji empat kru Rohingya dan seorang warga Myanmar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Kru Rohingya masing-masing mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
"Namun, semakan akan dibuat untuk pengesahan kad tersebut," katanya selepas operasi di perairan Pangkor, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi APMM Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain.
Ujarnya, lapan lagi warga asing yang ditahan ialah pekerja di dua sangkar ikan membabitkan lima warga Indonesia dan tiga warga Nepal.
"Hanya seorang sahaja warga Indonesia yang mempunyai pasport dan dia bersama tujuh individu lain turut tidak mempunyai permit kerja," katanya.
Shahrizan berkata semua warga asing itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan APMM Perak merekodkan 73 kes sepanjang Januari lalu hingga kini membabitkan pelbagai kesalahan terutama berkaitan permit kerja warga asing yang berkerja dengan bot nelayan tempatan.
"Daripada jumlah itu sebanyak 48 kes termasuk rampasan 100 botol air ketum yang dibawa masuk untuk pasaran Pulau Pangkor direkodkan untuk Ops Benteng Laut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Operasi yang dijalankan juga mendapati tiada sebarang kemasukan atau urusan keluar pendatang asing tanpa izin biarpun ada cubaan masuk di persempadan perairan Perak dan Selangor," katanya.
Pihaknya turut mendapat maklumat ada beberapa cubaan menyeludup barangan daripada pulau berkenaan ekoran pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada kes penyeludupan direkodkan.
"Mereka yang mempunyai maklumat terutama warga pulau itu digesa menyalurkannya kepada pihak berkuasa," katanya.
#Akta Imigresen #APMM #Indonesia #Myanmar #nelayan #operasi #Ops Benteng Laut #Ops Khas #pelarian #PKP #Rohingya #warga asing