13 rangka mayat ditemui dari kawasan perkuburan Bukit Wang Burma
Bernama
Mei 29, 2015 08:42 MYT
Mei 29, 2015 08:42 MYT
Sejumlah 13 rangka mayat dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui di kawasan perkuburan, Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, setakat ini.
Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia Bukit Aman ACP Datin Asmawati Ahmad berkata sebanyak sembilan lagi rangka mayat dibawa turun dari hutan berkenaan, malam tadi.
"Semua rangka tersebut sampai di kaki bukit pada pukul 8.45 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut oleh pakar patologi.
"Pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am PDRM akan meneruskan misi menggali dan mengeluarkan rangka mayat di lokasi yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.