13 pelajar sesak nafas, batuk terhidu gas iodin
Astro Awani
Mei 6, 2019 12:51 MYT
Mei 6, 2019 12:51 MYT
Seramai 13 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas, di sini, mengalami sesak nafas dan batuk berterusan akibat terhidu gas iodin.
Dalam kejadian pagi Isnin itu, pelajar tingkatan empat sekolah tersebut dilapor sedang melakukan proses uji kaji ke atas bahan iodin berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata proses uji kaji bahan tersebut dilakukan di dalam makmal sekolah bersama seorang guru.
“Dalam uji kaji tersebut, bahan iodin tersebut dipanaskan untuk tindak balas pemeluapan.
"Akibat kurang pengudaraan dalam makmal menyebabkan 20 pelajar mengalami sesak nafas dan batuk berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
PIhaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.57 pagi memaklumkan 11 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki terkesan selepas terhidu gas tersebut.
Setakat ini, 13 pelajar masih diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
Pada masa sama, pihaknya turut menafikan berlaku letupan dan kebocoran kimia seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, setakat ini hanya seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut manakala mangsa lain stabil.